Friday, 25 November 2016

Makanan Di Sarawak

Kalau nak ke Sarawak, makanan apa yang ada ? Apa makanan yang sedap ? dan macam-macam lagilah soalan yang ditanya kalau pasal makanan ini. Apa kata korang datang ke Sarawak dan cuba sendiri makanan tradisi kami orang Sarawak. 😊😊😗

Umai merupakan sejenis makanan tradisional masyarakat Sarawak yang berasal daripada kaum Melanau. Umai dianggap salah satu makanan yang popular dan penting dalam masyarakat Sarawak. Selain itu,umai juga dikenali sebagai ‘sushi sarawak’ kerana penyediaannya berasaskan ikan mentah yang segar seperti ikan bawal hitam,ikan terubuk dan ikan parang. Ia merupakan satu hidangan yang ringkas kerana penyediaannya tidak memerlukan modal yang besar dan mudah disediakan. Secara umumnya,umai sedikit sebanyak menyerupai kerabu di Semenanjung Malaysia.
 Tahukah anda Tumpik@Lemantak atau dikenali sebagai "Pizza Melanau" adalah salah satu makanan tradisional kaum Melanau di Sarawak. Apa yang menariknya Tumpik bukan saja digemari oleh kaum Melanau saja, bahkan kaum-kaum lain di Sarawak juga mengemarinya.
Laksa Sarawak merupakan makanan tradisional yang popular di Sarawak. Laksa Sarawak berbeza dengan laksa-laksa yang terdapat di Semenanjung. Bahan-bahan yang digunakan juga amat berbeza dan ketara.
Kuahnya seperti kuah mee kari akan tetapi rasanya amatlah berbeza dengan mee kari. Rasa kuahnya rasa lemak, manis dan pedas. Bahan yang terdapat dalam laksa sarawak adalah bihun, isi ayam yang dicarik-carik, udang, tauge, hirisan telur goreng dan kuahnya. Laksa sarawak dihidangkan bersama sambal untuk menambah rasa kepedasan dan juga limau kasturi. 
 Inut atau Linut, dimakan menggunakan chopstick bersama belacan dan kangkung rebus. Siapa suka makan hidangan ini?

 Ayam pansuh merupakan makan yang popular di kalangan orang Dayak di Sarawak. Hidangan tradisi masyarakat Iban ini unik kerana ayam dimasak di dalam buluh, dan diadun dengan ramuan yang terdiri daripada bahan-bahan seperti cili padi, bunga kantan dan halia dan kemudian dibakar di dalam unggun api. Hidangan ini popular terutamanya di bulan Ramadan dan Hari Gawai.
Mi Kolok juga amat terkenal di Sarawak. Sebut sahaja Sarawak, pasti akan terbayangkan hidangan Mi Kolok. Sejenis juadah yang boleh didapati di merata tempat di Sarawak. Ia kebiasaannya dihidangkan bersama sup dan kicap.Biarpun mudah didapati, ia tetap punya nilai eksklusif yang tinggi kerana sering menjadi pilihan tuan rumah untuk dihidangkan pada majlis rumah terbuka atau keraian.
Terung Dayak juga amat digemari oleh penduduk di Sarawak. Rasanya yang masam menambahkan lagi kelazatannya apabila dimasak dengan sup ayam atau sup ikan.Terung Dayak amat berbeza dengan terung yang lain. Hal ini kerana terung Dayak berbentuk bulat dan isinya berwarna kuning. Bijinya boleh diambil dan ditanam semula.
 
Tidak lupa juga, salah satu makanan kesukaan saya iaitu buah dabai.Yang belum pernah merasa buah dabai mungkin belum mengetahui cara penyediaan buah dabai untuk dimakan. Buah dabai perlu dicuci bersih terlebih dahulu agar getah yang terdapat dibuah dabai hilang dan bersih. Kemudian ia perlu direndam dalam air suam dan tidak boleh direndam dalam air yang terlalu panas. Toskan air tersebut dan letakkan sedikit garam dan gaul sehingga sebati. Ia sesuai dimakan bersama nasi panas dan lauk pauk yang lain. Namun begitu ada juga cara lain untuk menikmati keenakan buah dabai. Buah dabai yang telah dibersih diletak dalam bekas dan dicampur kicap dan sedikit gula. Selepas itu jemur dibawah panas matahari sehingga struktur dabai tersebut cukup lembut. Rasa lebih berlemak dan sedap untuk dimakan.
Kompia juga selalu menjadi tarikan makanan di Sarawak. Kompia ini terkenal di kalangan masyarakat Fuzhou/ Foochow Sibu. Asal kuih ni adalah dari negara China iaitu sejak zaman Dinasti Ming 1563, dan menurut sejarah, tentera yang pada masa tu tengah berperang dengan tentera Jepun hanya makan ni sebagai alas perut. Sebab bahannya mudah yang hanya menggunakan tepung dan dibakar di atas arang.
Akhir sekali, sudah semestinya kek batik Sarawak. Jika ada dalam kalangan rakan-rakan atau saudara yang berkunjung ke Sarawak, atau balik kampung di Sarawak, pastinya buah tangan yang dikirim ialah Kek Lapis Sarawak.Biarpun ada dijual di banyak tempat di semenanjung, namun Kek Lapis asli dari Sarawak punya keistimewaan yang sukar ditemui pada kek lapis yang dijual di tempat-tempat lain.




No comments :

Post a Comment